Selamat berbuka puasa kepada semua orang Islam..

Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Ery duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio Perak, sekejap Kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.
Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor. Kelihatan beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.
Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.
Ada sebuah jeti buruk di situ. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini. Tolol!
Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.
“Nak apa?!”
Dia terketar terkejut, sedikit berundur.
“Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta..”
Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!
“Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana aku nak ajar kau!!”
Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat.
Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial!
Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!
“Sudah nak!!” Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.
“Kenapa ni? Gila?!”
“Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit,” dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.
Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.
Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja..
Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku meluat melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi berlagak seperti fakir. Mungkin..
Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.
“Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?”
Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu per satu, perlahan-lahan dan terketar.
Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.
“Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula, nak.”
Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.
“Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati.”
Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.
Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.
Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.
Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah S.W.T dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.
Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.

Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?
Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da’if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan Dia yang memberikan rasa cinta itu.
Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!
Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah S.W.T telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah S.W.T berfirman :
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.” [Surah Ali ‘Imran 3 : 190]
Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah S.W.T dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).
Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.
Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.
Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.
Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.
Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah S.W.T, merupakan jalan hidup yang sia-sia.
Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!
Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilah daripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah S.W.T. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu mati.
Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.
Sentuhlah tangannya, Pahala. Ciumlah pipinya, Pahala. Layani kehendaknya, Pahala. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, Pahala. Berlembut suara bermanja, Pahala! Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah Syurga matlamat kita?
Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!
Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.
“Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan(harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah(pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni)akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina.” (Surah al-Furqaan : 66-69).
Dan kini, saya bahagia bercinta kali pertama setelah menjadi isteri kepada suami yang sangat memahami. Cinta suci yang kami bina bermatlamatkan Syurga. Indahnya bercinta selepas pernikahan. Segala yang dilakukan menjadi halal bagi kami dan pahala buat bekalan di ‘sana’ nanti. Syukur, sujud dan doa telah Allah kabulkan. Kuasa Allah S.W.T tidak dapat dilawan. Bercintalah, bercintalah, bercintalah! Bercintalah kerana Allah!
these are some ofour trip pictures to miri that have been taken by qaz. the trip is suppously to have our site visit. but it turn to be a shopping trips.many of us bought so many this, especially to the gurls.. hehehhe, we had a really enjoyable day at miri.. so, i hope that one day that i can have a big house at miri coz there is so many big houses and shopping mall compare to kuching. :)


